- BERITA@FOOD
| UTUSAN MALAYSIA, RENCANA, 3 JULAI 2008 |
KEPUTUSAN kajian Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Awam (Setara) yang meletakkan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai universiti cemerlang adalah satu keputusan yang sudah diduga. Dengan keputusan ini, ia telah meletakkan UPM sebagai antara sebuah universiti terunggul di negara kita. UPM telah menyambut perayaan ulang tahun yang ke-75 (Jubli Intan) pada 2006 yang lalu. Sejarah UPM bermula dengan penubuhan Sekolah Pertanian di Serdang pada 21 Mei 1931 yang memberi tumpuan dan penekanan kepada bidang pertanian di Tanah Melayu. Sekolah Pertanian tersebut kemudiannya dinaik taraf menjadi kolej Pertanian Malaya pada 23 Jun 1947. Selaras dengan kepentingan sektor pertanian kepada ekonomi negara pada awal kemerdekaan, peranan Kolej ini adalah amat penting yang akhirnya membawa kepada kepada penubuhan Universiti Pertanian pada 29 Oktober 1971. Penubuhan UPM diasaskan oleh gabungan Kolej Pertanian Malaya, dengan Fakulti Pertanian, Universiti Malaya. Bermula 23 Julai 1973, UPM telah memulakan sesi akademiknya dengan pengambilan seramai 1,559 pelajar. Pelajar-pelajar tersebut memulakan pengajian di tiga fakulti pengasas iaitu Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan, Fakulti Perhutanan dan Fakulti Pertanian. Sepanjang tahun 80-an dan 90-an UPM telah bersifat dinamik yang akhirnya membawa kepada perubahan nama menjadi Universiti Putra Malaysia pada 3 April 1997. Nama baru ini menggambarkan UPM menawarkan pelbagai bidang termasuklah sains dan teknologi di samping program berkaitan pertanian, perhutanan dan veterinar. Malah sehingga hari ini UPM masih terus memperkukuhkan bidang pertanian, termasuklah disiplin yang berkaitan dengannya selaras dengan dasar negara dan keperluan masyarakat. Pada hari ini UPM telah mempunyai 16 fakulti termasuk Fakulti Kejuruteraan dan Perubatan di samping sembilan pusat penyelidikan. UPM juga telah menjadi destinasi bagi 25 ribu orang pelajar termasuk hampir 7 ribu pelajar lepasan ijazah. Terkini, UPM mempunyai seramai 1,351 orang pensyarah dan 944 dari mereka berkelulusan PhD. Jumlah ini telah melebihi sasaran Kementerian Pengajian Tinggi agar setiap IPTA mempunyai bilangan pensyarah berkelulusan Ph.D sebanyak 60 peratus menjelang tahun 2020. Di samping pengajaran, sebagai sebuah universiti penyelidikan, UPM boleh dianggap terkedepan dalam bidang penyelidikan jika dibandingkan dengan universiti lain di Malaysia. Ini dapat dibuktikan apabila UPM dianugerahkan '2007 Technology Business Review ASEAN Award' bagi anugerah Kecemerlangan di Sektor Pendidikan di antara Universiti-Universiti Penyelidikan. Bidang penyelidikan yang menjadi tumpuan di UPM bukan sahaja dari sektor pertanian bahkan juga kepada bidang yang berkaitan dengan angkasa lepas. Dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), UPM muncul sebagai institusi penerima geran penyelidikan terbesar dan pada masa ini UPM telah diperuntukkan sebanyak RM76 juta dari pelbagai sumber bagi tujuan penyelidikan. Kewibawaan UPM dalam bidang pertanian adalah suatu yang tidak boleh disangkal. Sumbangannya dalam memajukan sektor pertanian serta melahirkan golongan petani moden sejak lebih tiga dekad lalu adalah satu sumbangan yang amat besar bagi negara. Dalam tahun 2005, negara telah menghasilkan Polisi Biotek Negara dan menamakan UPM sebagai Pusat Kecemerlangan bagi Agro-Teknologi. Bahkan banyak produk makanan dan ubat-ubatan yang berasaskan pertanian serta perikanan telah dihasilkan oleh para penyelidik dari UPM. Banyak produk yang dihasilkan di UPM telah mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuklah produk yang berkaitan dengan kejuruteraan. Sejak kebelakangan ini, UPM telah dibanjiri oleh para pelajar lepasan ijazah yang datang dari lebih dari 50 negara. Namun majoriti dari mereka datang dari negara Islam yang lain terutamanya dari Asia Barat seperti Iran, Libya dan juga Iraq. Fenomena ini berlaku selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia sebagai satu destinasi unggul dalam bidang pendidikan sama ada bagi ijazah atau lepasan ijazah Di persada antarabangsa, UPM telah menjalinkan kerjasama dengan banyak universiti terkemuka di Barat. Bahkan terdapat juga pensyarah UPM yang terlibat secara langsung dengan projek Kesatuan Eropah (EU project). Projek sebegini secara langsung memberi peluang rakyat Malaysia menyumbang kepada perkembangan teknologi dunia dimasa hadapan. Justeru ini telah meletakkan mereka sebaris dengan saintis barat dalam pengembangan ilmu. Baru-baru ini, Program Angkasawan Negara telah memilih uji kaji pengkristalan protein bagi dilaksanakan oleh angkasawan Malaysia di International Space Station. Uji kaji ini adalah dihasilkan oleh kumpulan penyelidikan Enzim dan Microbial dari UPM. Hasil penyelidikan ini nanti akan digunakan bagi memahami cara merawat beberapa jenis penyakit yang berkaitan dengan kestabilan protein dalam badan. |
