Sejarah Fakulti

Fakulti Sains dan Teknologi Makanan bermula pada tahun 1976 dengan penubuhan Jabatan Sains dan Teknologi Makanan di bawah Fakulti Pertanian.  Penubuhan jabatan ini adalah selaras dengan keperluan negara bagi memenuhi kekurangan tenaga mahir dalam bidang makanan berasaskan sains.  Ketika itu hanya satu program prasiswaah ditawarkan iaitu Bacelor Sains dan Teknologi Makanan. 
 
Pada 1 Mac 1982, Jabatan Sains dan Teknologi Makanan telah dinaiktaraf menjadi Fakulti Sains dan Teknologi Makanan.  Terdapat dua (2) jabatan di bawah Fakulti ini iaitu Jabatan Teknologi Makanan dan Jabatan Sains Makanan.
 
Tahun 1986, nama Fakulti ditukar kepada Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi (FSMB) dengan penubuhan Jabatan Bioteknologi yang menawarkan Bacelor Sains (Bioteknologi) dengan enam (6) modul iaitu Bioteknologi Tumbuhan, Biologi Molekul, Bioteknologi Makanan, Bioteknologi Industri serta Bioteknologi Alam Sekitar dan Pengurusan.
 
Pada tahun 1996, Fakulti telah menawarkan program Bacelor Sains (Pengajian Makanan) dengan tiga opsyen iaitu Mutu Makanan, Pengurusan Makanan dan Perkhidmatan Makanan.  Sementara dalam tahun 2000, opsyen Pemasaran Makanan pula ditawarkan melalui program yang sama.
 
1 Ogos 2004, nama Fakulti ditukarkan kepada Fakulti Sains dan Teknologi Makanan apabila Jabatan Bioteknologi dikeluarkan untuk penubuhan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul.  Pada Januari 2005, Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan ditubuhkan bagi memantapkan program sedia ada.  Fakulti Sains dan Teknologi Makanan mula menawarkan program Bacelor Sains (Pengurusan Perkhidmatan Makanan) dan Master Teknologi Makanan (melalui kerja kursus) pada bulan September 2012.

 

Program baharu Bacelor Sains Operasi Pembuatan Makanan dengan Kepujian mula ditawarkan pada Semester Pertama Sesi 2020/2021.