| FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN

LAWATAN PENANDAARASAN DARI UITM KAMPUS KUALA PILAH KE FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN

8 JUN – Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) telah menerima Lawatan Penandaarasan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kuala Pilah, Cawangan Negeri Sembilan. Program Diploma Teknologi Makanan (AS116) dan Program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sains dan Teknologi Makanan (AS246) dari UiTM berhasrat untuk mengadakan Lawatan Penandaarasan bersama Program FSTM Bacelor Sains dan Teknologi Makanan dengan Kepujian (PG09) dan Program Bacelor Sains (Pengajian Makanan) dengan Kepujian (PG17). Ini kerana Program AS116 dan AS246 telah berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Board of Technologist (MBOT) pada September 2020 yang lalu. Program akademik yang telah berjaya mendapat pengiktirafan tersebut perlu mengadakan lawatan penandarasan ke Intitusi Pengajian Tinggi lain yang menawarkan program akademik yang serupa atau hampir serupa bagi memenuhi klausa 9.7.4 - Penandaarasan yang termaktub dalam Manual Technology and Technical (TTAC) MBOT 2019.

Sesi perkongsian yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jalamas, FSTM. 

Seramai enam orang wakil delegasi pihak UiTM bersama lapan orang wakil dari pihak FSTM yang terdiri daripada Timbalan Dekan Bahagian Akademik dan Hal Ehwal Pelajar (BAHEP), Ketua Penolong Pendaftar, Ketua Jabatan, Pensyarah Kanan, serta staf BAHEP telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam objektif membuat perbandingan serta penambahbaikan kendiri bagi program mereka terhadap tujuh kriteria yang ditetapkan oleh pihak MBOT.

         

Lawatan makmal di Bangunan Food 3, FSTM.

Semoga hubungan kerjasama ini dapat diteruskan hendaknya demi kemaslahatan generasi akan datang.

SXDdWAg~