VITAMIN C DALAM PENCEGAHAN DAN RAWATAN COVID-19 | FACULTY OF FOOD SCIENCE AND TECHNOLOGY
» ARTICLE » VITAMIN C DALAM PENCEGAHAN DAN RAWATAN COVID-19

VITAMIN C DALAM PENCEGAHAN DAN RAWATAN COVID-19

Suplemen vitamin C amat popular dalam kalangan pengguna kerana dikatakan dapat menjadikan kulit lebih cantik, cerah, anjal dan awet muda serta dapat mengelakkan selesema dan menyembuhkan pelbagai penyakit kulit. Jualan suplemen kesihatan naik mendadak semasa pandemik COVID-19 melanda negara. Pengambilan suplemen terutamanya vitamin C dikatakan dapat meningkatkan sistem imun dan mengelakkan jangkitan COVID-19. Malah, baru-baru ini tular bahawa pengambilan vitamin C berdos tinggi melalui intravena dapat memulihkan jangkitan COVID-19 dengan segera.

Pengguna perlu sedar bahawa pengambilan suplemen kesihatan secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan. Pada masa ini, kajian saintifik yang diterbitkan sehingga Ogos 2021 menunjukkan bahawa tahap kandungan vitamin C dalam badan tidak mempengaruhi kemungkinan dijangkiti virus COVID-19, tidak mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan tidak mengurangkan komplikasi akibat jangkitan COVID-19 seperti pneumonia serta kerosakan organ dalaman.

Selain itu, protokol rawatan COVID-19 menggunakan suntikan intravena vitamin C tidak diamalkan di Malaysia kerana masih tiada kajian yang melaporkan keberkesanan dan keselamatannya. Malah, rawatan tersebut juga tidak digunakan di negara-negara lain seperti Australia dan Singapura. Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) Amerika Syarikat, pesakit COVID-19 yang bergejala ringan tidak mengalami keradangan yang teruk dan tidak menunjukkan sebarang tanda stres oksidatif. Oleh itu, peranan vitamin C dalam rawatan COVID-19 masih belum diketahui.

Vitamin C atau asid askorbik merupakan nutrien yang diperlukan untuk pelbagai fungsi fisiologi badan termasuk penghasilan kolagen. Kolagen amat penting untuk membentuk tulang, otot dan sel darah merah. Vitamin C juga bertindak sebagai antioksida dengan memusnahkan radikal bebas dalam badan.Perkara yang paling utama apabila hendak membeli suplemen kesihatan adalah melihat keperluan dos yang disarankan untuk setiap peringkat umur dan tahap kesihatan terkini. Contohnya, keperluan vitamin C bagi kanak-kanak 7-9 tahun hanya 35 mg/hari, bagi remaja 10-18 tahun 65 mg/hari dan bagi dewasa berumur 19-65 tahun 70 mg/hari. Keperluan vitamin C ibu mengandung pula meningkat 80 mg/hari manakala ibu menyusu memerlukan sehingga 95 mg/hari.

Namun begitu, kebanyakan vitamin C yang dijual di pasaran adalah dalam dos 250 mg sehingga 1000 mg sehari. Kadar penyerapan vitamin C dalam badan akan berkurang sebanyak 50% apabila pengambilan vitamin C melebihi 1000 mg bagi orang dewasa. Ini bermakna vitamin C yang tidak diserap akan dikeluarkan daripada badan melalui urin.Proses katabolisme vitamin C akan menghasilkan oksalat sebelum dikeluarkan daripada badan. Penghasilan oksalat yang berlebihan akan membentuk batu karang dan meningkatkan risiko penyakit batu karang. Selain itu, vitamin C yang diambil melebihi 1000 mg sehari juga boleh menyebabkan cirit-birit dan pengumpulan asid urik dalam saluran kencing iaitu faktor risiko bagi penyakit gout.

Golongan yang berisiko tinggi mengalami rembesan oksalat tinggi dalam urin adalah pesakit buah pinggang kronik dan pesakit diabetes yang menghidapi komplikasi buah pinggang. Bagi mereka yang menghidapi penyakit keturunan seperti talasemia, vitamin C yang berlebihan boleh menyebabkan hemolisis akut atau sel darah merah pecah. Walaupun vitamin C tidak disimpan di dalam badan, pengambilan berlebihan boleh memudaratkan kesihatan dan meningkatkan risiko penyakit. Vitamin C juga boleh mempengaruhi keberkesanan ubatan lain seperti ubat kolesterol dan ubat kemoterapi dalam rawatan kanser. Oleh itu, adalah amat penting bagi mereka yang ingin mengambil vitamin C atau suplemen vitamin dan mineral lain mendapatkan nasihat doktor serta menjalani saringan kesihatan bagi mengelakkan kesan sampingan.

Purata harga satu tablet yang mengandungi 500 mg vitamin C ialah RM1. Ini bermakna pilihan yang jimat dan selamat adalah memastikan diet seharian mengandungi dua hidangan buah-buahan dan tiga hidangan sayur-sayuran bagi membekalkan sehingga 280 mg vitamin C setiap hari. Buah yang tinggi kandungan vitamin C termasuklah jambu batu (152.0 mg/100 g), betik (70.9 mg/100 g), limau nipis (36.9 mg/100 g), mangga (20.5 mg/100 g) dan nenas (15.2 mg/100 g)Sumber vitamin C dalam sayur-sayuran termasuklah brokoli (85.0 mg/100 g), sawi (89.0 mg/100 g), peria (53.0 mg/100 g), kubis (53.0 mg/100 g), lobak merah (53.0 mg/100 g) dan tomato (25.8 mg/100 g). Kandungan vitamin C akan berkurang apabila makanan diproses dan disimpan dalam jangka masa yang lama. Oleh itu, pemilihan ulam-ulaman dalam diet seperti pucuk ubi (192.0 mg/100 g), ulam raja (65.0 mg/100 g), pucuk gajus (91.0 mg/100 g), dan cekur manis (136.0 mg/100 g) dapat mengelakkan kehilangan vitamin C semasa pemprosesan.

Kebanyakan penjual suplemen kesihatan mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan kesihatan yang melampau. Oleh itu, pengguna perlu bijak dalam membuat pilihan. Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran bukan sahaja dapat membekalkan vitamin dan mineral lain yang diperlukan badan, tetapi juga dapat mengelakkan kesan sampingan akibat pengambilan suplemen yang berlebihan.

Nama penulis: Nurul Shazini Ramli
Jawatan: Pensyarah Kanan
Jabatan: Sains Makanan
Bidang Kepakaran: Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti
Email: shazini@upm.edu.my
No. telefon: 019-2884763
 

Date of Input: 03/11/2021 | Updated: 03/11/2021 | shuhada_md

MEDIA SHARING

FACULTY OF FOOD SCIENCE AND TECHNOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8367
Tiada
CULdWAk:22:30