Pemakanan Seimbang Sepanjang Usia | FACULTY OF FOOD SCIENCE AND TECHNOLOGY
» ARTICLE » Pemakanan Seimbang Sepanjang Usia

Pemakanan Seimbang Sepanjang Usia

Kesihatan diri antara harta paling berharga yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit, namun ramai tidak mengambil perhatian sehingga akhirnya menghidap pelbagai penyakit serius.

Ramai juga yang tidak menyedari peranan pengambilan makanan berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik. Punca utama serangan penyakit serius seperti kanser dan penyakit jantung adalah pengambilan makanan yang tidak seimbang dan jarang bersenam.

 

Corak pengambilan makanan yang teratur dan seimbang sepatutnya dimulakan sejak kanak-kanak dan perlu diteruskan sehingga dewasa terutama apabila usia semakin meningkat.

 

Makanan seimbang adalah makanan yang membekalkan cukup zat untuk keperluan badan setiap hari. Antara kepentingan pengambilan makanan seimbang:

Pembesaran fizikal lebih sempurna

Tubuh perlu menerima semua zat yang diperlukan untuk membina badan yang kuat dan sihat. Keupayaan fizikal ini membolehkan kita menjalankan tugas dengan baik dan sempurna. Pemakanan seimbang menjadikan fizikal seseorang itu lebih baik dan sihat berbanding individu yang kurang menjaga aspek pemakanan.

Menyediakan vitamin mencukupi kepada badan

Keperluan vitamin mencukupi ini menjadikan tubuh manusia lebih berdaya tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau dengan kata lain, tidak mudah jatuh sakit.

Mampu mengawal obesiti

Salah satu aspek utama pemakanan seimbang adalah keperluan mengambil makanan berkhasiat secukupnya, mengikut keperluan badan dan bukannya berlebihan.

Kawalan pemakanan menjadikan tubuh seseorang itu ideal dan mudah menjalankan pelbagai aktiviti cergas yang mampu menyihatkan badan, sekali gus menghindarkan obesiti.

Perkembangan mental tidak terganggu

Kekurangan zat makanan tertentu boleh membuatkan seseorang cepat letih fizikal dan mental. Keadaan ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih berkesan.

Selain empat manfaat di atas, amalan pemakanan seimbang dan sihat juga memberi kesan kepada berat badan ideal yang menjadi dambaan setiap orang. Boleh dikatakan mendapatkan berat badan ideal menjadi cabaran besar kepada hampir semua orang khususnya selepas usia menjangkau angka 40.

Ikuti tujuh langkah mudah yang dapat membantu anda untuk mendapatkan berat badan ideal namun perlu diingat, segalanya memerlukan kekuatan disiplin diri:

Mulakan sekarang

Menurunkan berat badan tidak cukup dengan bermodalkan niat. Anda perlu tekad melakukannya selain memastikan diri mengikut segala perancangan terutama dari segi pemakanan harian anda dan senaman.

Letakkan sasaran yang munasabah

Tetapkan sasaran yang mampu dicapai dan bukannya di luar kemampuan diri. Penurunan berat badan sebanyak setengah kilogram setiap minggu dianggap jumlah yang ideal dan tidak keterlaluan. Malah, anda juga tidak berasa tertekan untuk mencapai sasaran.

Keupayaan seseorang individu berbeza antara satu sama lain. Sesetengah orang yang mempunyai perancangan teratur dan tekad yang tinggi mungkin boleh mencapai penurunan yang lebih banyak berbanding setengah kilogram dalam tempoh seminggu. Jangan paksa diri sehingga melebihi kemampuan.

Tidak perlu terlalu memaksa

Jangan memaksa diri dengan langsung tidak mengambil makanan wajib seharian. Ramai yang mungkin menyarankan supaya anda mengehadkan itu dan ini, tetapi sebaiknya dapatkan ilmu mengenai pemakanan.

Jumlah kalori

Ketahui jumlah kalori yang perlu diambil setiap hari, begitu juga jumlah kalori yang perlu anda bakar supaya ia memudahkan lagi proses penurunan berat badan.

Sekiranya anda langsung tidak mengambil makanan penting, ia bukanlah dapat membantu anda menurunkan berat badan. Hakikatnya ia lebih membuatkan anda berasa terlalu lapar yang secara tidak langsung akan mendorong anda makan dengan lebih banyak. Apabila mengambil makanan lebih daripada had sewajarnya, tentu sekali kalori juga bertambah.

Percepatkan sarapan Jangan meninggalkan pengambilan sarapan kerana ia ternyata dapat membantu anda menurunkan kalori dengan lebih cepat. Sekiranya anda meninggalkan sarapan, bimbang anda akan terlebih makan menjelang tengah hari kerana terlalu lapar.

Banyakkan minum air kosong

Kurang minum menyebabkan berlakunya banyak masalah kesihatan lain dan mengganggu proses penurunan berat badan. Kita disarankan minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari. Pada masa sama, kurangkan pengambilan minuman dan makanan manis.

Bersenam walaupun gerakan ringkas

Senaman memainkan peranan penting dalam proses menurunkan berat badan. Senaman yang dilakukan secara sistematik menyebabkan proses mengeluarkan peluh dan pembakaran kalori berjalan dengan cepat, sekali gus membantu mendapatkan berat badan ideal.

Amalkan senaman tiga kali seminggu, sekurang-kurangnya 45 minit sehari. Bagi yang tidak biasa, ia mungkin kelihatan membebankan tetapi percayalah pasti ada hikmah di sebaliknya. Untuk mendapat kesan yang lebih baik, lakukan senaman setiap hari.

 

Kredit: 

Siti Nadirah Hafidzin

siti_nadirah@hmetro.com.my

Date of Input: 20/09/2018 | Updated: 20/09/2018 | wannurain

MEDIA SHARING

FACULTY OF FOOD SCIENCE AND TECHNOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389468367
0389423552
C1544679383